Monday 26 December 2016

Teknik Menjawab Soalan Rumusan & Pemahaman dan Teknik Karangan Hafalan & Tampalan Kumpulan Halus



Salam sejahtera cikgu BM Se-Malaysia,

Memandangkan tahun 2017 saya akan mengajar 2 kelas Bahasa Melayu SPM maka saya pun bertungkus lumus menyediakan Modul Bahasa Melayu SPM 2017 iaitu:

1. Rumusan & Pemahaman 
2. Karangan Bahagian A & B 

Modul ini dilengkapi dengan teknik menjawab setiap bahagian secara terperinci (langkah demi langkah) . Saya menyediakan modul ini dengan menggabungkan bahan-bahan BM SPM yang saya dapat daripada pelbagai sumber. 
Saya ubahsuai ikut tahap pencapaian murid di sekolah saya berdasarkan ANALISIS ITEM.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada:
i) JPN Kedah dan Unit Bahasa PPD Kuala Muda/Yan- Modul Peningkatan Prestasi BM SPM 2016
ii) Cikgu Tan CL 
iii) Guru-guru dalan Group Telegram BM Se-Malaysia
atas sumbangan bermanfaat anda.

Sekiranya ada cikgu BM SPM yang mengajar kumpulan HALUS, bolehlah ambil Modul Karangan ini untuk drill anak murid anda. Manakala, Modul Rumusan & Pemahaman boleh digunakan oleh semua kategori murid.

Sekian, terima kasih.
Selamat bertugas cikgu :)





1. Karangan Kumpulan Halus
https://docs.google.com/document/d/1wLNED1Ik2p8DicOnTA-vv0IWp17Udxp91azGVRkaQoI/edit?usp=sharing


2. Rumusan dan Pemahaman
https://docs.google.com/document/d/1jwI9ZzwehnbZh8SgRkUb-5JCD8JmfLY8eQAGDpe4K_w/edit?usp=sharing


3. Analisis Karangan SPM
https://docs.google.com/document/d/1tcsY8IWN7MWz9s0jNXTBqm4F9zELFXKdOUTeEwQ1R2U/edit?usp=sharing


4. Analisis Rumusan & Pemahaman SPM
https://docs.google.com/document/d/1j2N1ALm6O-OvMpe6hUsP35SjTVS8fXjYElngUa4T31Q/edit?usp=sharing


Saturday 24 December 2016

LDP : Pembelajaran Abad ke-21 di SMKBPJ

LDP : Pembelajaran Abad ke-21
di SMK. Bandar Puteri Jaya


Photo: Pn.Azlinda (Guru B&K)


Pembelajaran Abad ke-21 merupakan salah satu anjakan paradigma dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Ciri-ciri PAK21 meliputi:

i) Komunikasi
ii) Pemikiran Kritis
iii) Kolaborasi
iv) Kreativiti

Seterusnya, kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam PdPc abad ke-21 ialah seperti berikut:

i) Kemahiran Pembelajaran dan Inovasi
ii) Kemahiran maklumat, media dan teknologi
iii) Kemahiran Hidup dan Kerjaya

Sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, Jawatankuasa Pembelajaran Abad ke-21 dan PLC SMKBPJ telah menganjurkan satu kursus LDP Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) di sekolah baru-baru ini.

Objektif utama LDP ini dijalankan supaya:
  • semua AJK PAK21 dapat menguasai setiap strategi PAK21 
  •  membantu guru lain di sekolah dalam pelaksanaan PAK21 di dalam bilik darjah mulai tahun 2017.
  •  pihak sekolah juga ingin memantapkan Teacher Sharing Session dalam kalangan guru.


Seramai 8 orang guru SMKBPJ memainkan peranan sebagai pembentang untuk membentangkan 8 strategi utama PAK21. Antaranya:

1. Pn. Deeparani A/P Ramoo (Hot Seat)
2. Pn. Ainun binti Hasan (Round Table)
3. Cik Farah Deeba binti Roslan (Think-Pair-Share)
4. Pn. Azreen Farhana binti Ahmad (Gallery Walk)
5. Pn. Wan Syarizad binti Othman (Jigsaw)
6. Pn. Wan Noraniza binti Wan Hassan (Role Play)
7. Pn. Yasnida binti Yahya (3 stray 1 stay)
8. Pn. Siti Rashadah binti Haji Chik (Problem Based Learning)

Kelapan-lapan pembentang ini juga memikul tanggung jawab sebagai AJK PAK21. Mereka menyampaikan strategi PAK21 menggunakan slaids PPT dan video. Dalam slaids tersebut, para pembentang memaparkan:

i) maksud setiap strategi
ii) langkah mengaplikasikan di dalam bilik darjah
iii) kebaikan strategi ini dalam PdPc 
iv) contoh tajuk subjek yang boleh dilaksanakan strategi ini.

Selepas setiap sesi pembentangan, slot Teacher Sharing Session  diadakan agar berlaku perkongsian bernas PdPc PAK21 dalam kalangan guru.

Keseluruhannya, kursus LDP PAK21 SMKBPJ berjalan dengan lancar dan para peserta kursus menunjukkan reaksi positif dalam sesi soal jawab. Pihak pentadbir sekolah juga amat berharap PAK21 akan berjalan dengan mantap di SMKBPJ mulai tahun 2017.


 
Photo: Cikgu Deeparani - Hot Seat


Photo: Cikgu Ainun - Round Table


 Photo: Cikgu Farah Deeba - Think-Pair-Share



 Photo: Cikgu Azreen - Gallery Walk


Photo: Cikgu Wan Syarizad - Jigsaw


 Photo: Cikgu Siti Rashadah - Problem Based Learning


 Photo: Cikgu Wan Noraniza - Role Play


 Photo: Cikgu Azlinda - Guru B&K


 Photo: Senarai semak Tool Kits

 Photo: Tool Kits


Selain LDP, pihak pentadbir juga menjalankan beberapa persediaan awal dalam pelaksanaan PAK21 mulai tahun 2017. Antaranya,

i) Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Transformasi SMK Seri Badong

ii) Pelantikan Jawatankuasa PAK21
Penyelaras PAK21 : Pn. Harifah binti Mohd. Amin (GKM Kemanusiaan)

iii) Mesyuarat Jawatankuasa PAK21

iv) Penyediaan bilik-bilik khas PAK21 

v) Penyediaan 99 beg tool kits 



Sekian, terima kasih.






Friday 23 December 2016

6 Persediaan Mengajar Tahun 2017






Salam sejahtera semua. Tirai 2016 bakal ditutup dalam masa beberapa hari ini manakala tirai 2017 bakal dibuka dengan pelbagai azam dan iltizam. Cikgu boleh melakukan refleksi diri dalam sesi PdP tahun 2016 dan merancang penambaikan dalam PdPc tahun 2017. Cikgu bolehlah tambah perancangan baru yang sesuai dengan Pembelajaran Abad ke-21 dan gugurkan program yang tidak berjaya menunjukkan keberhasilan murid.

 Sebagai seorang guru profesional, apakah persediaan mengajar kita bagi tahun 2017? Baiklah, saya akan berkongsi 6 Persediaan Mengajar Tahun 2017 yang telah saya lakukan semasa cuti sekolah ini. Ada kawan yang bertanya kepada saya, "Cikgu tak bercuti ke?". Jawapan saya, "Saya keluar bercuti bersama ahli keluarga dan pada masa yang sama saya meluangkan masa untuk melakukan persediaan mengajar untuk tahun depan". :) Bagi saya, bersusah-susah dahulu, boleh bersenang-senang kemudian. :) Apabila persediaan mantap, PdPc akan berjaya sebab modul subjek saya disiapkan selepas melihat analisis item, PILL dan pelan tindakan. Pada masa yang sama, saya tak perlu pergi ke kedai fotostat banyak kali untuk fotostat bahan PdPc saya. Kan mudah cikgu...:)





6 Persediaan Mengajar Tahun 2017


1. Bersedia dari segi mental
Berfikiran positif dan berpandangan jauh. Ingat cikgu, sikap cikgu akan menentukan kelancaran dan keberkesanan PdPc 2017 cikgu. Kalau cikgu nak senang melaksanakan PdPc tahun depan, buatlah persediaan sedikit demi sedikit semasa cuti sekolah ini agar mudah dan lancar PdPc cikgu tahun depan. Saya bukan guru cemerlang tapi saya merupakan seorang guru yang mempunyai tanggung jawab tinggi sebab pelajar mempunyai satu persepsi positif terhadap diri saya yang bergelar GURU dan pelajar juga menaruh kepercayaan tinggi terhadap saya. Maka, menjadi amanah saya untuk memakbulkan kepercayaan pelajar terhadap PdPc saya sekaligus mengekalkan persepsi positif pelajar terhadap diri saya. 

Pegangan hidup sebagai GURU :
"Pelajar saya seperti anak saya juga"


                           ☝ Setuju tak cikgu?


2. Analisis Item Kelas Yang Bakal Diajar
Cikgu boleh mengambil Analisis Item 2016 subjek cikgu daripada Ketua Panitia Mata Pelajaran atau GKM dan mula menganalisis kekuatan dan kelemahan murid dalam setiap item soalan. Dengan cara ini, tugasan cikgu menjadi mudah kerana cikgu sudah kenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap murid dalam kelas tersebut. Maka, mudahlah cikgu untuk merancang Pelan Tindakan mengikut keperluan murid. Malah, menerusi analisis item juga kita dapat melihat keberkesanan strategi PdP kita sepanjang tahun 2016. Sekiranya strategi itu berjaya maka cikgu boleh teruskan. Akan  tetapi, jika strategi itu tidak berkesan maka cikgu boleh ubah modus operandinya agak murid dapat manfaat daripada strategi tersebut.

                                                                   ANALISIS ITEM



3. Senaraikan murid ikut Kumpulan Cemerlang, Kumpulan Sederhana dan Kumpulan Lemah
Cikgu boleh dapatkan markah murid dalam SAPS atau Teachers Assist. Kemudian, cikgu boleh sort out kumpulan murid ikut tahap pencapaian murid. Untuk sekolah saya, Tuan Pengetua telah menetapkan bench mark untuk setiap kumpulan ini dan GKM Bahasa telah sort out kumpulan murid agar guru mata pelajaran bahasa Melayu senang menyediakan PILL.




4. Pelan Intervensi Lima Langkah (PILL)
Selepas cikgu sudah melihat Analisis Item 2016 subjek cikgu, maka cikgu boleh merancang PILL. Dalam PILL, cikgu boleh menyenaraikan :

i. mengenal pasti sasaran murid (rujuk analisis item)
ii. memahami punca / masalah (kekangan yang dihadapi)
iii. menyenaraikan cadangan intervensi
iv. membuat prioriti intervensi (daripada cadangan yang cikgu senaraikan, pilih beberapa intervensi mengikut keutamaan)
v. menyediakan pelan tindakan

                                       PILL


5. Pelan Tindakan
Dalam pelan tindakan, cikgu boleh menyenaraikan dengan terperinci segala intervensi yang cikgu cadangkan dalam PILL. Contohnya, kalau cadangan cikgu 'MODUL TERANCANG KARANGAN BM SPM', cikgu boleh menyediakan modul ikut tahap pencapaian murid iaitu:

i. KUMPULAN CEMERLANG - KAEDAH ImBaKuP (En. Mohd. Nasir Ibrahim)
ii.KUMPULAN SEDERHANA - KAEDAH Traffic Lights (Pn. Ainun Hasan)
iii. KUMPULAN LEMAH - KAEDAH Tampalan (Group Telegram BM Se-Malaysia)


                                                                 PELAN TINDAKAN

                                                                       PELAN OPERASI



6. Perancangan dan Penyediaan Modul
Langkah seterusnya, cikgu boleh merancang untuk memilih bahan-bahan yang sesuai untuk modul subjek cikgu.
Pastikan dalam modul tersebut cikgu:

i. meletakkan nama menarik (catchy)
Contoh : Modul Sasar A+, Modul Progresif, Modul Iltizam dsbnya (ikut kreativiti dan kesesuaian modul)

ii. ruangan indeks

iii. analisis peperiksaan UPSR / PT3 / SPM / STPM subjek tersebut

iv. selitkan kata-kata motivasi atau gambar yang bersesuaian dalam helaian modul cikgu.

v. kalau cikgu dapat bahan modul itu daripada sumber-sumber lain, nyatakan nama penyumbang dalam modul cikgu sebagai tanda penghargaan. :)


MUKA DEPAN MODUL

Sudah 9 tahun saya membuat modul untuk pelajar-pelajar saya. Bermula daripada modul BM kelas peralihan sehinggalah modul BM SPM. Sememangnya, modul membantu cikgu mengajar dengan mudah dan lancar sebab modul itu dihasilkan oleh cikgu subjek itu sendiri. Lebih-lebih lagi cikgu menyediakan modul ikut tahap pencapaian murid. Hasilnya, pelajar akan mendapat manfaat sepenuhnya menerusi modul terancang yang disediakan oleh cikgu. :)

Cikgu BM Tingkatan 4 & 5 (SPM) yang nak guna MODUL ILTIZAM Rumusan & Pemahaman dan Karangan (Kump. HALUS), bolehlah letakkan alamat emel cikgu dalam comment box. Saya akan emelkan kepada cikgu-cikgu yang berminat. 
Tiada bayaran cuma satu permintaan kalau cikgu ada bahan BM UPSR / PT3 / SPM, bolehlah cikgu emelkan kepada saya pula. Sharing is caring!

Semoga artikel kali ini bermanfaat kepada cikgu sekalian. Selamat bertugas kembali 2017. :)





Friday 16 December 2016

Penggunaan Microsoft Mouse Mischief dalam Pembelajaran Abad ke-21



Salah satu strategi menarik PdPc Abad ke-21


MICROSOFT MOUSE MISCHIEF(MMM)



Pembelajaran interaktif abad ke-21



Apakah itu MMM?

Microsoft Mouse Mischief adalah add-in untuk Microsoft Office PowerPoint 2010 dan 2007, program pengajaran terbaru oleh Microsoft yang merupakan sebahagian daripada sistem Microsoft Office.  Program ini akan membolehkan guru-guru untuk membuat dan memasukkan soalan, pemilihan (polls), dan slaid aktiviti melukis ke dalam perisian Microsoft Office PowerPoint.

Dalam MMM Power Point ada icon Multiple-Mouse untuk diklik oleh guru sebelum aktiviti interaktif bermula.



Perisian baru ini boleh dimuat turun dari laman web rasmi Microsoft secara PERCUMA.

Klik pautan di bawah:



Mengapakah MMM sangat sesuai untuk PdPc abad ke-21?

Murid dapat berinteraksi dan menyertai di dalam aktiviti pembelajaran kelas sama ada secara individu atau kumpulan. MMM berfungsi sebagai rangsangan kepada peningkatan dan pembelajaran yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, maksimum hanya 25 unit tetikus tanpa wayar (wireless mouse) sahaja boleh diaplikasikan dalam MMM. Dalam konteks kelas di Malaysia yang mempunyai bilangan murid di antara 30 hingga 45 orang murid maka aktiviti kumpulan sesuai dijalankan menggunakan MMM.


Apakah peralatan yang perlu disediakan oleh guru untuk PdPc menggunakan MMM?

  1. Komputer / Komputer Riba
  2. Skrin LCD
  3. LCD
  4. Tetikus tanpa wayar 2.4 GHz
  5. USB Port Hub 2.0



Berapakah anggaran kos pembelian tetikus tanpa wayar dan Hub?

Tetikus tanpa wayar (jenama biasa) 
RM25 - 30

Hub (6 receiver) 
RM20 - 40



Apakah persediaan guru untuk PdPc MMM?

Seperti biasa menyediakan Power Point slides untuk ditayangkan kepada murid cuma fokus aktiviti lebih kepada kuiz dan aktiviti pengukuhan.

Mata ganjaran boleh diberikan kepada kumpulan yang menjawab soalan dengan betul dan cepat. Ada paparan di sebelah kiri skrin yang menunjukkan jawapan murid yang betul dan salah serta orang pertama yang menjawab dengan betul.



Apakah jenis soalan yang boleh disediakan oleh guru melalui MMM?

Soalan jenis Ya/Tidak, Soalan jenis pelbagai pilihan (sehingga 10 pilihan) dan Soalan jenis melukis



Kebaikan MMM?
MMM menggalakkan penglibatan murid secara aktif dan memupuk semangat bekerjasama dalam aktiviti kumpulan. Malah, PdPc seperti ini akan menarik minat murid terhadap sesuatu topik mata pelajaran sekaligus membolehkan seseorang murid belajar sambil berseronok.



Sumber rujukan:

Facebook 21st Century Teacher










https://www.youtube.com/watch?v=9BpJB7ZWdIE




Bagaimanakah saya mengenali strategi PdPc baru ini?

Saya mengenali MMM melalui Facebook 21st Century Teacher. Saya terbaca satu artikel tentang MMM di negara Filipina. Apabila saya mendapati strategi ini menarik, saya mula meneroka dengan lebih lanjut tentang MMM di laman-laman web yang lain dan juga menonton video pengaplikasian MMM di Youtube.

Dengan ini, saya ingin mengucapkan jutaan TERIMA KASIH kepada Facebook 21st Century Teacher kerana berkongsi strategi PdPc baru ini dalam media sosialnya.

"Thank you to 21st Century Teacher Facebook owner for sharing such a useful teaching strategy in your wall. Great job!".




Saturday 10 December 2016

Teknik 4 Bucu untuk menulis perenggan isi karangan PT3

TEKNIK 4 BUCU (FORMULA   I  H  C  K )


-sesuai untuk mata pelajaran bahasa Melayu menengah rendah 

(Tingkatan 1,2 & 3)



Kebaikan teknik ini kepada murid :
Murid dapat menulis perenggan isi karangan dengan mudah, idea jelas dan pengolahan akan menjadi menarik.


Kebaikan teknik ini kepada guru BM :
Guru dapat menyemak setiap ayat yang terdapat dalam perenggan isi karangan dengan mudah kerana isi berada dalam keadaan teratur, jelas dan menarik.



KLIK PAUTAN DI BAWAH :

https://docs.google.com/presentation/d/1SSBlWALvea8udYKLf9xuZDiFukOB5nSp6VIdRQW2jvk/edit?usp=sharing

Pembelajaran Abad ke-21 dan Tool Kits

PENYEDIAAN 'TOOL KITS'


Apakah itu 'tool kits'?

'Tool kits' ialah kit alat tulis seperti pen marker, 'tack-it', gunting, gam, 'stick-notes', pembaris dan tag nama ahli kumpulan yang dimasukkan ke dalam sebuah beg kecil.


Apakah kepentingan 'tool kits' dalam PdPc?

Pembelajaran koperatif mudah dijalankan apabila setiap kumpulan dibekalkan dengan 'tool kits'. Selepas mendengar arahan guru, murid-murid akan memulakan aktiviti kumpulan dengan menggunakan 'tool kits'. Contohnya, murid menulis idea pada peta buih di atas kertas mah-jong menggunakan alat tulis yang terdapat dalam 'tool kits'.


'Tool kits'



Beg 'Tool Kits'


Apakah peranan setiap ahli kumpulan dalam Pembelajaran Koperatif?

Di dalam setiap beg mempunyai 6 tag nama yang mempunyai peranan setiap ahli kumpulan iaitu:
  • Pengurus Pasukan - menguruskan aktivti kumpulan
  • Pencatat  - menulis / melukis sesuatu idea yang dibincangkan di dalam aktiviti kumpulan pada kertas mah-jong atau kertas A4/A3
  • Pengurus masa - memastikan ahli kumpulan menyiapkan tugasan yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh guru.
  • Pengurus senyap - memastikan aktiviti kumpulan berjalan dalam keadaan tidak bising   [6 inches voices].
  • Pengurus bahan - mengambil 'tool kits' daripada guru dan memastikan semua alat tulis ada di dalam beg sebelum memulangkan kepada guru.
  • Pembentang - membentangkan hasil perbincangan kepada ahli kumpulan yang lain.

**setiap peranan di atas perlu rotation antara murid setiap kali aktiviti kumpulan diadakan.



Tag nama




Video menunjukkan 'tool kits' diedarkan kepada Pengurus Bahan oleh guru


'Tool kits' dan anggaran perbelanjaan

Pembelajaran koperatif paling sesuai dijalankan antara 5 hingga 6 orang ahli dalam satu kumpulan. Sekiranya dalam sebuah kelas mempunyai 40 orang murid maka guru boleh mengagihkan murid kepada 8 kumpulan.


Di dalam 'tool kits' tersebut boleh dimasukkan:
  • Pen marker biru jenis ARTLINE/PILOT
  • Pen marker hitam jenis ARTLINE/PILOT
  • Pen marker merah jenis ARTLINE/PILOT
  • 'Tack-It'
  • Gam
  • Gunting
  • Pembaris panjang
  • 'Stick notes'
  • Flat lanyard (tali)
  • Tag nama
  • Kad / Bendera Traffic Lights (1 set - hijau,kuning dan merah)
**ARTLINE/PILOT boleh refill



Kos penyediaan 8 beg 'tool kits' ialah RM150.00 (anggaran)


Cadangan kedai alat tulis murah di kawasan Sungai Petani, Kedah ialah Northern Asia Enterprise.


Alamat : 22, Jalan Mawar 2, Taman Pekan Baru, 08000, Sungai Petani, Kedah.
No telefon: +60 4-425 8439




PEMBELAJARAN KOPERATIF DALAM KELAS BAHASA MELAYU TINGKATAN 3A2



Pembelajaran Koperatif



Aktiviti Bacaan Rencana Dewan Siswa menggunakan Teknik CHATT



Murid-murid sedang melakukan aktiviti kumpulan 



'Gallery Walk' sedang dijalankan


Pembentangan 




✌✌ Idea 'tool kits' telah dikongsikan oleh Mentor saya, SISC+ BM Pn. Mariana binti Yaacob (PPD Kuala Muda/Yan)