Friday 3 March 2017

Pembelajaran Abad ke-21 dan SKPMg2

 PdP Dulu - Chalk & Talk


PdPc Kini - Pembelajaran Abad ke-21






Pembelajaran Abad ke-21

      Pembelajatan Abad ke-21 ialah suatu transformasi dalam dunia pendidikan iaitu daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara konvensional seperti chalk and talk kepada kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan pembelajaran yang relevan dan sesuai dengan perkembangan semasa. Dengan itu, semua guru perlu bersedia menerima segala perubahan dan dapat mengurus perubahan tersebut dengan cekap dan berkesan kerana guru merupakan "kumpulan pelaksana" yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perubahan tersebut.

    Pada masa yang sama, guru perlu menyedari bahawa dunia pendidikan kini perlu seiring dengan perkembangan zaman agar tidak ketinggalan. Seiring dengan itu, kaedah PdPc perlu diubahsuai ke arah perkembangan teknologi siber dan berpusatkan murid agar menarik minat murid untuk menghayati mata pelajaran yang dipelajari sekaligus memantapkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) mereka.

     Apabila disentuh pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sini, guru berperanan sebagai perancang,pengawal,pembimbing,pendorong dan penilai (Rujuk SKPMg2) untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan menghasilkan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan. Seterusnya, peranan murid pula adalah sebagai pembelajar aktif untuk menguasai kemahiran dan pengetahuan serta mengamalkan nilai positif.

     Maka, sesuailah sekiranya seorang guru mengamalkan Pembelajaran Abad ke-21 di dalam bilik darjah agar kriteria SKMPg2 tercapai sekaligus merealisasikan 6 aspirasi murid iaitu murid yang berpengetahuan, murid yang mempunyai kemahiran berfikir, murid yang mempunyai kemahiran untuk memimpin, murid yang mempunyai kemahiran dwibahasa, murid yang mempunyai etika dan kerohanian dan akhir sekali murid yang  memaparkan identiti nasional.

Pembelajaran Abad ke-21 dan Aktiviti Kumpulan

   Terdapat banyak strategi dalam Pembelajaran Abad ke-21. Antara strategi yang sangat popular diaplikasikan dalam bilik darjah ialah strategi Gallery Walk, 3 stray, 1 stay, Jigsaw, Think Pair Share, Round Table, Hot Seats, Role Play, Pembentangan, Simulasi, Sajak, Syarahan, Problem Based Learning dan Project Based Learning.

 Foto : Strategi 3 stay, 1 stray
(kelas BM Cikgu Erni Sunarti)

Foto :  Strategi Project Based Learning
(kelas RBT Cikgu Mahayu)

Foto : Pembentangan
(kelas Sains Cikgu Azreen Farhana)

Foto : Think Pair Share
(kelas PSV Cikgu Sarathamani)

Video : Project Based Learning
(kelas Perniagaan Cikgu Jamil)




Video : Jigsaw
(kelas BM Cikgu Deeparani)

Video : Jigsaw & Hot Seats
(kelas BM Cikgu Ainun)

Video : Berpantun
(kelas BM Cikgu Noriah)



Pembelajaran Abad ke-21 dan SKPMg2


Jika guru mengamati borang penskoran PdPc SKPMg2, terdapat 6 aspek penting yang perlu dicapai oleh guru iaitu :
4.1 Guru sebagai Perancang - Rancangan Pengajaran Harian 
4.2 Guru sebagai Pengawal - mengelola isi pelajaran, masa dan aktiviti kumpulan murid
4.3 Guru sebagai Pembimbing - memberi tunjuk ajar / panduan dan mengaitkan isi pelajaran dengan tajuk pelajaran yang lain
4.4 Guru sebagai Pendorong - memberi rangsangan untuk berfikir dan membuat keputusan dan memberi pujian/penghargaan kepada murid
4.5 Guru sebagai Penilai - Sesi soal jawab / KBAT / menyemak hasil kerja murid
4.6 Murid sebagai Pembelajar Aktif - Aktiviti Berpusatkan Murid & Koperatif serta mengaitkan isi pelajaran dengan isi sejagat atau tempatan.

Guru juga perlu memberi perhatian terhadap Rubrik Tahap Kualiti PdPc. Untuk mendapat skor tertinggi iaitu 4 maka guru perlu melaksanakan PdPc Abad ke-21 dengan baik kerana Pembelajaran Abad ke-21 dan 6 aspek yang perlu dicapai oleh guru saling berkaitan.


Maka, jelaslah di sini bahawa setiap seorang guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia wajib melihat,memahami,menghayati dan melaksanakan PdPc mereka sepertimana tertera dalam Borang Penskoran PdPc SKPMg2 agar kemenjadian murid sebagaimana dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia tercapai dengan jayanya.


Impak melaksanakan Pembelajaran Abad ke-21 dalam PdPc saya:

     Saya mula melaksanakan PdPc Abad ke-21 pada tahun 2015 selepas dibimbing oleh SISC+ Bahasa Melayu, Puan Mariana binti Yaacob (PPD KMY). Pada peringkat awal, saya melaksanakan PdPc dengan aktiviti kumpulan yang mempunyai strategi Gallery Walk. Saya juga menyelitkan teknik pembacaan CHATT, menggunakan akhbar dalam darjah dan peta i-Think dalam PdPc saya.

    Pada tahun 2016, PdPc saya berkembang kepada beberapa strategi yang lain seperti 1 stay, 3 stray, Pembentangan dan Project Based Learning. Saya juga aktif menggunakan aspek warna (penggunaan highlighter) dan akronim dalam PdPc saya khususnya dalam Rumusan dan Karangan untuk subjek Bahasa Melayu menengah atas. Selepas itu, saya mula memikirkan satu kaedah untuk mengajar perenggan isi karangan untuk murid-murid Tingkatan 3 saya dan akhirnya menghasilkan Teknik 4 Bucu dalam pengajaran saya. Hasilnya, apabila saya menyemak skrip jawapan PT3, murid-murid saya boleh dikatakan majoriti skor markah tertinggi dalam Soalan Karangan. Itu merupakan satu indikator kejayaan dalam kerjaya saya sebagai seorang guru.

    Bukan itu sahaja, saya menggunakan kaedah Flipped Classroom dalam PdPc saya di mana saya akan memberi tajuk Karangan lebih awal dan meminta murid mencari bahan-bahan yang berkaitan untuk tajuk Karangan tersebut. Saya akan membantu murid dengan mencadangkan beberapa pautan yang berkaitan dengan tajuk dalam Internet dan menggalakkan murid membaca majalah seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa dan Dewan Masyarakat. Setelah melaksanakan Pembelajaran Abad ke-21, saya mendapati skor ujian/peperiksaan murid saya meningkat pada tahun lepas (GP BM : 1.42 Pep.Akhir Tahun Tingkatan 4). 

    Bukan itu sahaja, saya juga mula meneroka perkongsian PdPc guru-guru yang lain seperti Blog Cikgu Norhailmi, Fb TcherCollection, Fb 21st Century Classroom, Group WhatsApp SISC+ BM PPD KMY dan banyak lagi. Sy juga turut mengkaji pelaksanaan PdPc negara lain semasa melanjutkan pengajian Sarjana saya di UUM. Boleh dikatakan saya selalu belajar strategi-strategi baru PdPc daripada pelbagai pihak. Perkongsian PdPc Pembelajaran Abad ke-21 oleh SISC+ PPD KMY Puan Norhayati binti Abdullah,Pn.Mariana binti Yaacob dan Puan Mak Wai Fong turut membuka minda saya untuk mencuba strategi Pembelajaran Abad ke-21 yang lain dalam PdPc. Sikap saya yang sentiasa menerima perubahan dengan positif dan rajin mencuba serta mencari jalan penyelesaian sekiranya berlaku kekangan ialah resipi kejayaan saya. Bagi saya, PdPc yang menerapkan Pembelajaran Abad ke-21 perlu fleksibel dan guru sebagai fasilitator perlu berani mencuba apa sahaja strategi untuk menarik minat murid sekaligus mencapai kriteria kejayaan dalam PdPc tersebut.

    Berkat kesungguhan dan kegigihan saya dalam melaksanakan Pembelajaran Abad ke-21 sejak tahun 2015 telah membuahkan hasil apabila saya menerima beberapa sijil (anugerah) untuk PdPc saya iaitu Guru yang mengamalkan PdPc Abad ke-21 Tahun 2016, Open Class PLC Bahasa Melayu dan Amalan Terbaik Bahasa Melayu. Keterbukaan minda dan kesediaan melaksanakan perubahan yang baru dalam dunia pendidikan boleh dikatakan salah satu sebab kejayaan saya dalam profesion perguruan. Bukan sekadar kejayaan malah kreativiti guru juga berkembang dengan baik.

  Jadi, guru-guru yang membaca artikel saya ini,satu sahaja pesanan saya,tak kira cikgu prasekolah, cikgu sekolah rendah atau cikgu sekolah menengah,gunakanlah kreativiti dalam PdPc anda kerana Pembelajaran Abad ke-21 sangat fleksibel dan mesra guru. Guru boleh PLC, google banyak laman web,Youtube dan hadir Bengkel Pembelajaran Abad ke-21 agar kefahaman anda tentang transformasi baharu ini menjadi mantap.

Kunci kejayaan saya:
Think Positive,Accept the Changes and Explore it. Through exploration only we gain the experience. 👍👍👍


 Foto : Open Class PLC Bahasa Melayu


Foto : Seminar Amalan Terbaik Bahasa Melayu


Bagaimanakah pula impak Pembelajaran Abad ke-21 kepada anda sebagai guru? Mohon kongsikan dalam ruangan komen di bawah.
 "Sharing is Caring".

Klik pautan di bawah untuk strategi PAK-21 yang lain.
https://drive.google.com/file/d/0Bzct87ZbAw_uX1lPZlBxOEpZQzg/view?usp=sharing


Sumber rujukan:
http://jpnperlis.moe.gov.my/v1/index.php/mt/category/413-standard-kualiti-pendidikan-malaysia-gelombang-2-skpmg2

Group Telegram BM Se-Malaysia

Borang Penskoran Pdpc SKPMg2

Foto dan Video PdPc Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah





No comments:

Post a Comment